CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Saturday, March 28, 2009

Jalang Jalang

Halim mengikut rakannya, Ramli pulang ke kampung di Terengganu sempena cuti pertengahan semester. Pada petang itu ketika bersiap untuk keluar, mereka disapa oleh emak Ramli.

Emak Ramli: Nok gi mane ni Meli?

Ramli: Orang nok bawok Halim gi jalang Pata Batu Buruk.

Emak Ramli: Bawok le adik mung sekali, kesiang die nok jalang gok.

Ramli: Orang gi naik moto je, nok ikut lagu mane?

Halim: Kenapa ni Li? Maaf le, aku tak berapa faham apa yang mak kaucakap.

Ramli: Tak de apa-apa. Siaplah cepat, kita nak keluar ni.

Halim: Kita nak pergi mana sebenarnya ni? Aku cuaklah. Aku dengar kaucakap lain macam aje tadi. Aku tak maulah pergi tempat tak baik tu. Aku takutlah. Aku masih suci tau!

Ramli: Tempat tak baik apanya? Kita pergi Pantai Batu Buruklah, makan ais krim goreng.

Halim: Tadi kau kata nak bawa aku pergi tempat jalangkan? Tak maulah aku! Peliklah keluarga kau ni. Siap boleh bagi tau emak lagi nak pergi cari jalang. Emak pulak boleh suruh bawa adik sekali! Pelik, pelik betullah famili kau ni. Kau tau tak, main jalang tu berdosa besar?

Ramli: Hei! Kau merepek apa ni? Kena sawan ke? Atau kena sampuk jembalang tanah sebab tido siang lama sangat? Aku nak bawa kau pergi Pantai Batu Buruklah, berjalan-jalan kat tepi pantai dan lepas tu boleh makan ais krim goreng. Kat situ ramai juga awek. Boleh juga cuba-cuba, tapi awek baik-baiklah, tak ada jalang. Kat tepi pantai mana ada jalang. Kalau kau nak tengok jalang, kita pergi tempat lain, tapi kena tunggu malam sikit.

Halim: Tadi aku dengar sendirilah, kaucakap dengan emak kau ... kau nak bawa aku ke tempat jalang.

Ramli: Alaa ... Lim, bukan itu maksudnya. Aku cakap kat mak aku yang aku nak bawa kau berjalan-jalan. Orang Terengganu memang cakap macam tu. Ada dengung kat hujung. Aku rasalah kan, elok kau tinggal lama sikit kat sini, biar pandai sikit cakap Terengganu, senang nak sembang dengan mentua nanti.

Halim: Blah la kau! Girlfriend aku bukan orang Terengganulah, orang Singapore tau! Lagi lama aku di Terengganu ni, boleh jadi gilalah. Kau sempat nak kelentong aku lagi, ada ke kata nak makan ais krim goreng. Aku bukan budak-budak tau nak kelentong macam tu.

Ramli: Kelentong apanya pulak? Serius ni! Aku nak bawa kau makan ais krim goreng, satu-satunya di Semenanjung. Moh cepat!

Jalang - perempuan jahat, pelacur
- (dialek Minang) - berkunjung, pergi ke
- (dialek Terengganu) jalan.

Perkataan yang diakhiri bunyi nasal atau sengau /n/ dan /m/, dalam dialek Terengganu dituturkan sebagai /ng/.

Sumber : Berita Harian

0 comments: